Archives

Bieber diserbu Kakitangan RTM

(latihan akhir menulis berita)

oleh : Marina Ahmad

Justin Bieber sering menarik perhatian peminatnya

Kuala Lumpur, 21 Jun – Ratusan kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini kecoh dengan kehadiran artis remaja popular Hollywood, Justin Bieber ke Angkasapuri.

Bieber, 18 yang popular dengan lagu “The Baby” itu hadir dalam program bual bicara pagi ” Hello On Two” di TV2.

Keadaan riuh rendah ketika Bieber muncul di ruang legar Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) selesai sesi wawancara.

Peminat yang kebanyakannya wanita telah sedia menunggu dan terus mengerumuni penyanyi tampan itu untuk bergambar.

Aura sensasi penyanyi berbakat yang tampil dengan jaket dan seluar hitam itu menyaksikan hampir 300 kakitangan yang merupakan peminat beliau berasak-asak untuk melihatnya dari dekat.

Penerbit “Hello On Two”, Azhar yusof berkata, beberapa pengawal terpaksa dipanggil untuk meleraikan peminat yang terlalu fanatik dengan artis pujaan mereka itu.

“Pengawal mengambil masa hampir setengah jam untuk mengawal keadaan dan membawa Bieber keluar dari IBC.

Bieber yang kali pertama hadir ke Malaysia sedang dalam rangka promosi album terbarunya “Believe”, dan akan membuat persembahan di KL Life Centre malam esok.

Album terbarunya telah berada di pasaran sejak 2 hari lalu.

Latihan Menulis Berita 3 – Teknik Sensasi

 Tajuk : Maut di laluan Pejalan Kaki

Oleh : Marina Ahmad

Kuala Lumpur, 19 Jun- Seorang lelaki maut dalam keadaan menyayat hati sambil memeluk seorang kanak-kanak berusia 5 tahun yang masih hidup, dalam usahanya untuk membantu kanak-kanak tersebut melintas jalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Ryan Tan, 23 maut di tempat kejadian setelah dirempuh sebuah kenderaan di laluan pejalan kaki di KM 23 Jalan Bangsar pagi ini.

Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa melihat kanak-kanak tersebut mahu melintas jalan sebelum menawarkan diri membantunya.

Ketika melintas, secara tiba-tiba sebuah kenderaan yang dipandu laju merempuh mangsa sehingga tercampak ke pembahagi jalan.

Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan lalu dipercayai meninggal dunia ditempat kejadian.

Pemandu kenderaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Aman.

Sementara itu, Ketua Penyiasat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman , DSP Omar Bakar ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu diminta supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Latihan Menulis Berita 1

ANAKONDA TERBESAR BERUSIA 120 TAHUN DIJUMPAI

Oleh : Marina Ahmad

Jengkaut sedang mengalihkan “Anakonda Malaysia” sepanjang 18 meter

Machang, 15 Jun – Seekor ular sawa yang dipercayai terbesar di Malaysia dan berusia hampir 120 tahun ditemui masih hidup pagi ini.

Ular tersebut ditemui kira-kira pukul 11.00 pagi  oleh dua pekerja kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan hutan bagi projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Machang.

Ular dari spesis anakonda yang diberi jolokan ” Anakonda Malaysia” oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Kelantan (PERHILITAN)  itu sepanjang 18 meter dengan berat 300 kilogram.

Saksi, Tuan Syed Jamalullail Syed Ahmad Albarakbah yang memandu jengkaut ketika kerja-kerja pembersihan hutan tersebut berkata,  beliau menyedari seperti terlanggar batang pokok dan terasa ada sesuatu membidas dan menyedari telah melanggar seekor ular besar.

Ular tersebut bagaimanapun tidak melawan dipercayaai kekenyangan kerana baru sahaja membaham seekor musang.

Syed kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada  Jabatan Perhilitan dan Jabatan Bomba dan penyelamat yang mengambil masa hampir setengah jam untuk kerja-kerja pemindahan.

Bagaimanapun ular tersebut tidak mengalami kecederaan serius dan  kini ditempatkan  di Jabatan Perhilitan Kelantan  sehingga pulih sebelum dilepaskan semula ke habitat yang lebih selamat.

Latihan Menulis Berita 2

“Samseng” jalan raya terima padah

Oleh : Marina Ahmad

Ampang, 19 Jun- Gara-gara cuba berlagak samseng selepas keretanya dilanggar,  Lim Ah Chai, 35 menerima 12 jahitan di kepala dalam kejadian pergaduhan dengan Tong See Seng, 27 di KM 25 Jalan Tun Razak, Ampang,  pagi ini.

Menurut saksi, pergaduhan bermula akibat salah faham dan rasa tidak puas hati oleh Lim, selepas kereta Kelisa yang dipandu Tong melanggar belakang kereta Personanya di susur keluar Jalan Sungai Besi – Ampang.

“Lim keluar dari kereta dengan memegang pemukul bola lisut sebelum dirampas oleh Tong, dan berlaku pergaduhan hampir 5 minit yang menyebabkan kecederaan Lim”

Pergaduhan itu telah mengakibatkan kesesakan sejauh 7 km.

Ketua Penyiasat Ibu Pejabat Polis Ampang, Asisten Superitenden Osman Bakar berkata, hasil pemeriksaan polis di sekitar lokasi kejadian menemui sebatang pemukul bola lisut yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 kerana mengganggu ketenteraman awam dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana  cuba mencederakan fizikal seseorang, “ujarnya.

Pertandingan Reka Cipta Blog

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman tutorial mereka cipta blog semasa kursus “Web Journalism” yang dianjurkan oleh IPPTAR selama dua minggu.. Hakikatnya, mencipta blog percuma tidaklah susah. Namun dek kerana tekanan untuk menyiapkan dalam tempoh masa yang singkat ditambah melihat rakan-rakan lain begitu pantas menyiapkan tugasan, maka yang mudah menjadi kelam kabut. Terkial-kial juga nak cari “button” yang sesuai supaya blog nampak cantik dan kreatif.. hahaha.. Bagaimanapun dengan bantuan tenaga pengajar dan rakan-rakan akhirnya berjaya juga menghasilkan blog ini.. Terima kasih semua.. Tapi dah ada blog bagaimana pula dengan pengisian? Dalam kursus ini juga kami diajar cara penulisan berita dan rencana mengikut kod etika dan garis panduan “kebebasan” yang ditetapkan.

Penilaian dibuat oleh pensyarah dan raka-rakan peserta berdasarkan:

  • Ketulinan berita dan rencana
  • Gaya bahasa
  • Persembahan visual dan kosmetik
  • Pengisian : sebuah berita dan sebuah rencana
  • Kedua-dua kandungan (berita dan rencana) hendaklah disertai dengan gambar dan video.

Kursus      : Web Jounalism

Anjuran     : IPPTAR, Angkasapuri

Tarikh        : 11-22 Jun 2012

Pensyarah :

  • Dr Rahmat Ghazali
  • Asst. Prof Mohd Amirul Akhbar